
Haniif sakit. Dia yang baru beberapa minggu di Surgery Department dah mulai mengigil, seram sejuk dan mengigau. Tidur hanya beberapa jam sehari, dan kalau tidak sedang makan, solat, atau buang hajat, pasti muka setengah hidupnya terpampang depan UGD/A&E, berbaju biru muda dan celana ikat pinggang getah menanti pesakit baru yang pecah appendix, patah femur, atau ditikam, dengan senyum seringainya yang khas. Merindingkan bulu kuduk sesiapapun yang melihatnya. Aku simpati padanya.
Hari ini aku menziarahinya di hospital Ibnu Sina, Hospital Universiti Muslim Indonesia. Universiti swasta ini dan UNHAS sahaja yang menawarkan pendidikan perubatan di Makassar. Haniif yang tergelatak di tempat tidur, kelihatan tidak berdaya, putus harapan. Badannya panas suam, hangat sedikit daripada belakang laptop setelah marathon Mario Puzo’s The God Father 1,2 dan 3. Orangnya yang sebelum ini periang telah mula meriang. Lelucon yang dikumandangkan meriah oleh teman-teman lain, saling bersahutan, hanya ditanggapi dengan senyum seringainya, pastilah yang khas itu. Sepertinya ketawa, tetapi stomatitis di faringnya membuat wajahnya kelihatan seperti sedang convulsion dan trismus dalam waktu bersamaan. Sungguh-sungguh dia ingin memuliakan tetamunya. Begitupun, aku terharu dengan apa yang aku lihat di kamarnya. Begitu banyak makanan dan minuman yang dibawa oleh teman-teman untuk Haniif. Sebahagiannya dibeli, ada yang dibuat sendiri. Walaupun hampir semuanya dihabisi oleh pengunjung juga, nilai ukhuwwah dan menunaikan hak saudara seislam untuk menziarahinya ketika sakit, tidak luput dari komuniti kami. Terutama mengingatkan bahawa orang sakit itu selalu hilang selera makan.
Setelah beberapa jam menemani Haniif di sana, aku mengucapkan salam dan doa syafakallah sebelum melangkah pulang. Setibanya di kawasan perumahanku, jemaah sudahpun pulang dari masjid menandakan selesai solat Maghrib majmu’. Aku bergegas masuk ke rumah, mandi dan bersiap menunaikan kewajipanku yang terlambat. Innalillah. Seusai solat maghrib, aku mencapai Mushaf terjemahan dan mulai membelek surah yang mana untuk dibaca. Aku tergerak untuk berhenti pada surah Yunus, dan mulai membacanya. Setelah membaca beberapa lembaran, aku cuba mentadabburi maksud dari ayat-ayat yang telah kukumandangkan tadi sehinggalah aku ketemu dengan ayat ke 12 yang bermaksud :
“Dan apabila manusia ditimpa bahaya, dia berdoa kepada Kami dalam keadaan berbaring, duduk, atau berdiri, tetapi setelah Kami hilangkan bahaya itu darinya, dia kembali (ke jalan yang sesat), seolah-olah dia tidak pernah berdoa kepada Kami untuk (menghilangkan) bahaya yang telah menimpanya. Demikianlah dijadikan terasa indah bagi orang-orang yang melampaui batas apa yang mereka kerjakan.“
Berdiri bulu kudukku mendengarkan ayat-ayatNya yang begitu teliti ditata sedemikian rupa, sehinggalah hari ini kutemukannya dalam keadaan aku baru saja pulang dari menziarahi orang sakit. Bukanlah kebetulan sebenarnya aku menziarahi Haniif hari ini, bukan juga kebetulan aku memilih surah Yunus untuk tilawah. Aku kembali mencela diriku yang menyerupai golongan hambaNya yang mudah lupa pada nikmatNya. Hari ini menangis berharap, esoknya sombong bukan main. Hari ini mahu bersyukur, esoknya mulai berdengkur.
Sudah berapa kali kita mengalami hal yang sama seperti yang disebut dalam ayat di atas? Ketika ada ujian, sakit, musibah dan hal-hal yang memerlukan keajaiban dan intervensi Tuhan, tak segan-segan kita meminta, dalam berbaring, duduk, dan berdiri. Dalam berbaring di katil ketika sakit, dalam duduk di ruangan ujian, dan dalam berdiri antara garis hidup dan mati pesakit. Namun setelah ujian, setelah sihat, dan setelah diangkat musibah tersebut, berapa di antara kita yang benar-benar mempelajari erti bersyukur? Berapa di antara kita yang merasa seolah-olah tidak pernah berdoa sebelumnya? Yang merasa lulus kerana ilmunya? Merasa sihat kerana ubat mahalnya? Merasa menyembuhkan dengan kemampuannya? Kemudiannya Allah menyambung dengan sindiran keras “demikianlah dijadikan terasa indah bagi orang-orang yang melampaui batas apa yang mereka kerjakan.” Ternyata proses pembodohan berulang-ulang antara meminta dan kemudian melupakan, telah dijadikan sesuatu yang indah kepada mereka yang tidak berfikir. Semoga kita dijauhkan dari terjebak dalam siklus fatamorgana yang hina ini.
Tuhan selalu ada cara yang luar biasa untuk menyedarkan kita, dan tidak ada waktu yang lebih baik untuk mengingatkan melainkan saat kita mulai melupakan. Mungkin salah satunya dengan menjadikan kita sakit.
Lawak Jenaka
8 months ago
0 comments:
Post a Comment