Sunday, January 11, 2009

Bukan Zaman Abrahah

Dunia Islam kembali digegarkan oleh pembunuhan massal di Palestin, tanah suci ke-3 milik kita. Sehingga artikel ini ditulis, telah syahid 875 orang penduduk Gaza yang mana 40% adalah dari kalangan wanita dan anak-anak kecil. Namun umat Islam saban hari hanya mengirimkan doa kutukan agar Israel laknatullah dievaporasi dari muka bumi. Itupun jika teringat untuk mendoakan saudara-saudara kita di sana. Masih sedarkah saudara bahawa peristiwa berdarah ini adalah hanya ulangan dari peristiwa-peristiwa yang telah berlaku sejak dahulu lagi? Kita diludah dan dipijak sejak berzaman lamanya. Umat ini sudah merasakan segala bentuk penindasan dan penghinaan dari seluruh dunia sehingga manusia beragama manapun yang melihat akan selalu simpati dengan kedudukan kita kini; Lemah, terkebelakang, ditindas, dan ramai. Bukankah sepertinya Tuhan tidak adil? Dia seharusnya menyebelahi kita! Seharusnya dia menurunkan ‘Burung-Burung Ababil’ dan ‘Banjir Besar’ buat menghancurkan mereka yang zalim kepada umat Islam. Seharusnya Dia membalikkan bumi Israel dan menguburkan anjing-anjing itu ke lapisan bumi yang terdalam.. Tidakkah Tuhan itu selalu adil?

Hampir semua orang mengetahui kisah raja Abrahah, yang datang dari Yaman dengan tentera bergajahnya untuk menghancurkan Ka’abah. Kerana iri atas kemakmuran Ka’abah yang selalu mendapat kunjungan orang untuk beribadah, dia mencela kuil-kuil dan tempat ibadah yang dibangunnya sendiri dan berjanji untuk meruntuhkan Ka’abah. Sebelum memasuki Mekkah, ia berhasil merampas 200 ekor unta milik pemimpin kota Mekkah, tidak lain adalah Abdul Muttalib, datuk kepada Rasulullah SAW. Ketika Abrahah memasuki kota Mekkah, datanglah Abdul Mutallib untuk berunding, dengan menyedari niat Abrahah untuk meruntuhkan Ka’abah. Abrahah dengan penuh hormat menyambut dan memuliakannya. Lalu ia meminta Abdul Mutallib mengambil tempat duduk disampingnya, kerana ia sangat menghargai dan menyeganinya sebagai pemimpin kota yang mulia. Abrahah bertanya kepadanya, “Ada perlu apa, wahai Abdul Mutallib?” Abdul Mutallib menjawab, “permintaanku adalah agar dikembalikannya 200 ekor untaku yang telah dirampas.” Abrahah terkejut, kerana yang disangkakan permintaannya adalah agar tidak menghancurkan Ka’abah. Abrahah berkata, “apakah engkau hanya sibuk memikirkan 200 ekor untamu yang dirampas? Sementara terhadap Baitullah yang menjadi symbol agamamu dan agama nenek moyangmu tidak engkau pedulikan?” Abdul Mutallib menanggapi dengan ungkapannya yang popular, “Sesungguhnya, aku hanya pemilik unta-unta itu, sedangkan Baitullah itu empunya Rabb, yang akan menjaganya..”

Penduduk Mekkah menunjukkan sikap pasif. Mereka bersembunyi di kaki-kaki gunung, mengosongkan kota Mekkah, dan menyerahkan sepenuhnya kepada Abrahah agar ia, bala tentera, dan pasukannya yang mengendarai gajah memasuki dan meluluhlantahkan Ka’abah. Timbul persoalan, mengapa burung-burung Ababil tetap turun kepada kaum yang mempunyai sikap pasif dan pengecut? Sebabnya, sudah menjadi Sunatullah dalam memusnahkan kaum yang zalim dengan perkara-perkara yang ajaib, sebelum kelahiran Manusia Agung. Dalam historis, Kita juga dapat melihat kisah-kisah yang hampir serupa dalam perjuangan para Nabi sebelum Baginda, seperti kisah Nabi Nuh, Nabi Luth, dan Nabi Musa AS. Namun demikian, hanya berselang 50 hari setelah pemusnahan Abrahah dan pasukannya, Allah memberikan syariat baru dalam membinasakan orang-orang zalim, bertepatan dengan kelahiran Rasulullah SAW. Peristiwa ‘tentera bergajah’ merupakan peristiwa terakhir dalam menolong agama Allah dengan cara yang luar biasa. Setelah itu, syariat tersebut ditegakkan dan sering bergema dengan jelas dalam bacaan-bacaan solat kita :
“Wahai orang-orang yang beriman, jika kamu membantu (agama) Allah, nescaya Dia akan menolongmu, dan meneguhkan kedudukanmu.” (Muhammad : 7)

Kaum muslimin terlebih dahulu dituntut beramal dan berbuat secara tulus ikhlas kepada Allah semata-mata dan sesuai tuntutan sunnah Rasulullah SAW. Jika kita telah mempersembahkan kerja keras dan amal, nescaya Allah akan menurunkan bantuan serupa dengan ‘Burung Ababil’ untuk membantu kita menghapuskan musuh. Ini merupakan sunatullah yang baru dan khusus hanya untuk umat Muhammad sehingga akhir zaman nanti. Tidak akan ada perubahan dan penyimpangan darinya. Kerana itu penantian dari sebahagian umat Islam untuk melihat bagaimana bentuk pembalasan Allah atas orang-orang yang zalim hanyalah penantian yang teramat panjang dan sia-sia. ‘Burung Ababil’ dan pertolongan lainnya tidak akan turun kecuali dengan usaha dan perjuangan dari setiap individu muslim.

Allah telah memberikan aturan-aturan yang jelas dalam melakukan perubahan dan keberadaannya berbeza sesuai tahapan yang dilalui oleh kaum muslimin. Pada suatu masa, kaum muslimin cukup hanya dengan dakwah. Boleh pula dakwah itu bersifat terang-terangan mahupun secara berahsia. Kadangkala, kaum muslimin perlu melakukan perjanjian damai. Namun, pada waktu yang lain, mereka perlu meninggikan bendera jihad. Semua aturan ini dapat kita rujuk pada para ulama’ dan meminta pandangan atas tindakan yang harus diambil umat Islam apabila berhadapan dengan masalah. Namun berapa orang yang komited dan peduli atas saran dan pesan mereka? Berapa pula yang tidak mahu ambil tahu tentang kewajiban seorang muslim dan tanggungjawabnya sebagai bahagian dari solidariti muslim seluruh dunia dan hanya berpeluk tubuh mendengarkan kisah melankolik umat dari kaca televisi? Itupun masih ramai yang beralih saluran jika mendengarkan berita tentang Gaza. Allahuakbar..

Masih ingatkah saudara pada kisah-kisah peperangan Baginda? Seburuk-buruk generasi adalah orang-orang kafir yang dipimpin oleh ‘firaun umat ini’, iaitu Abu Jahal. Mereka telah memerangi generasi umat terbaik yang pernah hidup di muka bumi yang berada dibawah petunjuk baginda Rasulullah SAW dalam peperangan pertama umat Islam; Perang Badar. Namun demikian, ‘Burung-burung Ababil’ tidak juga kunjung turun menghapuskan kaum kafir dan mencegah pertempuran terjadi. Sedangkan pasukan Baginda berlipat-lipat kali lebih mulia di sisi Allah dibandingkan dengan penduduk kota Mekkah ketika diserbu Abrahah. Sunatullah baru telahpun bermula, dan pasukan muslimin menyahutnya dengan keyakinan. Mereka mula mengatur strategi sebaik mungkin untuk melunaskan dan memenuhi syarat untuk meraih kemenangan, dan kemudiannya memanjatkan doa kepada Allah. Setelah melalui penderitaan, luka yang mengoyak, darah yang bersimbah, dan gugurnya satu demi satu syuhada, barulah pertolongan Allah hadir di medan jihad. PertolonganNya berupa malaikat, hujan, rasa takut dan gentar yang menyusupi hati orang-orang kafir, dan memecahbelahkan barisan dan hati mereka. Begitu juga yang dilalui oleh umat islam pada peperangan Ahzab dan Uhud. Tidak ada yang mereka lalui tanpa harga mati yang harus dibayar. Namun setelah mereka memenuhi bahagian mereka dari perjanjian (baca: Muhammad : 7), Allah pasti akan memenuhi pula bahagianNya.

Sedarlah saudaraku, bahawa kini bukan lagi zaman Abrahah. Tidak cukup jika hanya dengan menadah tangan dan berdoa ataupun membaca beberapa surah dari Al-Qur’an, akan dapat mengubah situasi di Gaza. ‘Burung-burung Ababil’ tidak akan turun untuk membinasakan kaum yang zalim jika kita hanya bersembunyi di balik kaki-kaki gunung. Dan ingatlah, sungguhpun upaya Abrahah untuk menghancurkan Ka’abah telah memurkakan Allah dengan kiriman AbabilNya, namun dosa menghancurkan Ka’abah dengan cara melepaskan satu persatu batunya adalah lebih ringan di sisi Allah berbanding mengalirnya darah mulia seorang muslim.

Kini sudah mencapai 875 jiwa dan jumlahnya semakin meningkat, hari demi hari.

“Yang terhitung itu selalu lakumu,
Bukan sekadar terbungkam kaku,
Kerna apapun yang ada hujungnya,
Hanya bermakna jika jiwamu bahgia.”

Petikan dari sajak Sepatu Langka

Rujukan :
Al-Qur’an
Laisa fi zaman Abrahah, oleh Dr. Raghib As-Sirjani
Al-Jazeera Network News

0 comments: