“Makan ape hari ni?” itulah soalan yang paling sering muncul dari mulut kami para mahasiswa Malaysia di Makassar. Setidak-tidaknya kami teman serumah yang tidak kunjung bosan mengulang-ulang ayat tersebut, sebelum menyeringai sesama kami, dek mati akal mahu makan di mana. Bila malam mulai berlabuh, berat rasanya kepala nak memikirkan juadah santapan kami serumah. Yang pasti, bukan kerana pilihan yang merambangkan mata dan mengecutkan perut. Selama lebih 4 tahun di sini, belum ada tempat makan yang benar-benar dapat memanjakan selera dan mengiurkan bila memikirkan makanannya. Masak sendiri juga tidak terlalu membantu. Pun begitu, jawapan Nad telah membawa kami berdua ke tempat makan yang agak jauh sedikit dari rumah. Mengirakan poket yang kian bolong, memang berat rasanya makan di sana. Namun mengenangkan perut yang dah jemu dengan sajian jalanan, tak salah rasanya sesekali mencicipi makanan dalam ruangan berhawa dingin di Mall Panakkukang. Mak pun kata, bab makan jangan berkira. Jadi kenalah ikut cakap mak.
Sementara menunggu makanan yang dipesan sampai, kami berborak tentang pelbagai perkara. Dari berita kemenangan Obama sampailah tentang keadaan mahasiswa Malaysia di sini. Dalam diskusi kami sempat kami selitkan isu-isu yang terjadi di Indonesia. Banyaknya kes pembunuhan dan mutilasi yang terjadi baru-baru ini, menjadikan perbualan tersebut semakin rancak mengiakan klaim kami terhadap Indonesia. Tidak ada yang dapat menafikan, negara ini berada di dalam lembah masalah yang kian hari menenggelamkan rakyatnya. Setiap sisi dari negaranya menyumbangkan masalah dalam definisi masing-masing. Sehingga mereka yang tidak redha menjadi beban buat tanah air juga ikut terheret ke dalam sengsara tersebut. Terlalu banyak kuasa yang diberikan kepada orang yang sedikit sekali menghargai titis peluh rakyat yang menanggung beban negara. Belum dihitung jabatan-jabatan kerajaan yang dirangkul oleh orang-orang bodoh. Tidak hairan bila ada wakil rakyat dan menteri yang membeli sijil ijazah dan gelaran mereka untuk ikut bertanding dalam jabatan kerajaan. Jurang ekonomi sepertinya tidak akan pernah menipis. Terus menguak lebar seluas kantung wang para koruptor dan tikus – tikus busuk di sela-sela longkang dewan negara mereka. Aku dapat menyimpulkan pengajarannya sebagai : Lakukan sebaliknya daripada apa yang berlaku di negara ini.
Setelah selesai makan dan sekilas melihat beberapa kedai, kami langsung menuju ke motor untuk pulang. Nad yang diboncengi aku, siap dengan tiket parking dan wang untuk bayarannya. Sudah menjadi tradisi kami siapa yang dibonceng, dialah yang membayar tiket. Untuk menghargai orang yang membawa motor dan minyaknya sekalian mungkin. Daripada 3 pos pembayaran tiket, hanya 2 pos yang kami lihat motor lain beratur untuk membayar. “Yazid, amik line paling kiri tu, takde motor beratur!”. Tanpa berfikir panjang dan daripada beratur panjang, aku terus masuk ke pos pembayaran yang Nad maksudkan tadi. Aku langsung tersenyum setelah melihat kelibat di samping pos tersebut. “Patutla takde orang nak beratur kat sini, ada anak jalanan (pengemis kanak-kanak) rupanya. “ Bisik Nad. Motor aku berhenti bersebelahan dengan pos pembayaran. Sementara Nad sibuk bertransaksi, aku melihat telatah anak-anak kecil tersebut. Ada 2 orang, adik beradik mungkin. Sekitar umur 6-7 tahun dugaanku. Muka dan tangan mereka hitam dek dibakar matahari, pasti sudah bertahun-tahun lamanya. Corengan di muka dan pakaian lusuh mereka menambahkan kesayuan siapapun melihat keadaan mereka. Biasanya jika ada motor yang berhenti untuk membayar, mereka mula membinarkan mata dan memberikan ekspresi paling sedih yang termampu mereka tunjukkan demi meraih simpati dan mudah-mudahan, sedikit wang recehan dari orang lain yang lebih bernasib baik. Tetapi kali ini mereka tidak begitu. Salah seorang dari mereka sambil memegang tayar motorku, berkata kepada yang satunya lagi. “Motor seperti ini yang aku mahu beli nanti. Motor racing!”. Sungguh-sungguh dia cuba meyakinkan kata-katanya. Saudaranya tadi sibuk membelek motorku, sepertinya sudah termakan dengan kata-katanya. Aku hanya tersenyum melihat gelagat anak-anak berdua tersebut. Aku bisikkan kesedihan dalam hatiku. Betapa impian mereka masih jauh untuk digapai. Sedangkan sesuap nasi untuk esok harinya saja belum tentu ada. Aku mencela diriku yang selalu lupa untuk bersyukur.
“Opss!!” Wang kembalian dari pos bayaran parking tadi tidak semuanya erat di tangan Nad. Sehelai not seribu rupiah (40sen) perlahan jatuh ke samping motor. Aku yang merunduk untuk mencapai wang tersebut rupanya sudah didahului oleh tangan anak kecil yang comot tadi. Mata kami bertemu, saling berpandangan. Di tangan anak kecil itu tersemat kemas not seribu tadi. Dia tersenyum dan sambil melihatku, tangannya menghulurkan wang tadi kepadaku. Aku terdiam sebentar. Tanganku perlahan mencapai hujung not tersebut yang masih di tangannya. “Takpe, bagi je.” Tiba-tiba Nad bersuara dari belakang. Aku membalas senyumannya. Not tersebut kembali ke tangannya semula. “Terima kasih ya”. Ujarnya sambil tersenyum. Kamipun berlalu pergi.
Sepanjang perjalanan pulang, aku terus memikirkan bagaimana jika aku berada dalam keadaan seperti mereka. Tidak tentu makan dan minum hari ini, apatah lagi esok. Aku yang sudah dapat makan saja sudah banyak mengeluh. Sudah pasti mereka juga tidak bersekolah. Rumahnya entah diselokan kumuh yang mana. Itupun kalau ada. Kebanyakan mereka hanya berbumbungkan langit dan berselimutkan angin malam. Terbakar dek bahang panas matahari dan menciut dalam kedinginan hujan. Tempat permainan mereka ada disetiap ruas jalanan dan mimpi-mimpi mereka hanya mahu didengari Tuhan. Sekilas, sungguh tidak adil rasanya aturan dunia ini. Siapakah kita untuk menafikan hak mereka untuk sama menikmati kehidupan? Kenapa nasib mereka tidak sebagus kita? atau setidaknya layak untuk hidup dalam erti yang sebenarnya? Maha Suci Allah yang menjadikan tiap-tiap dari makhlukNya dalam sebaik-baik keadaan. Dia menciptakan seluruh manusia dengan peluang yang sama besar, cuma manusia yang sering mengikis kesempatan saudaranya. Besar atau kecilnya rezeki seseorang bukanlah urusan kita untuk menentukannya. Walaupun semuanya telah tertulis di Lauh Mahfuz, belum pernah ada yang pasti dengan rezekinya sehinggalah dia kembali kepadaNya. Aku bersyukur kerana hari itu aku telah diberi pengajaran. Pengajaran dari seorang pengemis. Pengajaran dari tangannya yang menghulurkan wang dan tanganku yang menerimanya. Sungguh, tidak ada orang yang mahu menadahkan tangan demi memanjangkan usia hidupnya. Kitalah yang selalu memaksa mereka, sama ada kita sedari ataupun tidak. Dunia tanpa kemiskinan itu tidak mustahil, jika kemiskinan dalam hati manusia dapat kita sirnakan.
90% kekayaan bumi dikuasai oleh 1% penduduknya.
Jalan ini jalan yang panjang.
Mulai kecil, mulai dari sekarang.
Lawak Jenaka
8 months ago
2 comments:
a very touching story... tp x tau la.. x reti cemana nak baiki this whole thing is like a complete mess already. haih~ there have to be some way out but someone has to start it.. hurm.. ;)
berat mata memandang, berat lagi bahu memikul.
ya allah bantu kami utk mengingati Mu , mensyukuri Mu dan melakukan seaik2 amal kepada Mu !
Post a Comment